Monday 30 July 2012

Kata Ganda



Kata ganda ialah kata yang terbentuk daripada kata yang digandakan, sama ada sebahagian atau seluruhnya.
Kata ganda terdiri daripada:
  1. kata ganda seluruh
  2. kata ganda semu
  3. kata ganda separa (separuh)
  4. kata ganda bersajak atau berima 
  5. kata ganda berimbuhan.
Kata ganda seluruh
Kata ganda seluruh ialah kata dasar yang digandakan seluruhnya. Kata dasarnya boleh mengambil bentuk kata nama, kata adjektif, kata kerja, atau kata keterangan. Kata ganda seluruh digabungkan dengan tanda sempang (-).
Gandaan kata nama
Gandaan kata kerja
Gandaan kata adjektif
buku-buku
kereta-kereta
pagi-pagi
baring-baring
jalan-jalan
pandang-pandang
awal-awal
bulat-bulat
manis-manis

Kata ganda semu
Kata ganda semu mempunyai makna yang khusus, umpamanya: biri-biri, kanak-kanak, kupu-kupu.
Serupa dengan kata ganda seluruh, kata ganda semu ialah kata dasar yang juga digandakan seluruhnya, dan digabungkan dengan tanda sempang (-). Bagaimanapun berbeza dengan kata ganda seluruh, kata dasarnya hanya mengambil bentuk kata nama. Kata ganda dengan sendirinya membawa maksud tunggal atau jamak.

Kata ganda separa
Kata ganda separa terbentuk apabila sebahagian daripada kata saja yang digandakan. Semua kata ganda separa terdiri daripada kata nama, khususnya yang memberi maksud kepada benda atau konsep yang memiliki sifat atau keserupaan dengan kata dasar. Misalnya:
  • cecair (mana-manan bahan yang berada dalam keadaan cair, seperti air atau bendalir)
  • kekunci (butang untuk menaip dari komputer, diilhamkan dari perkataan Inggeris key yang juga bermaksud kunci)
  • lelangit ("langit" atau daerah teratas dalam rongga mulut)
Kata ganda bersajak/berima
Kata ganda bersajak atau berima ialah kata ganda yang mengalami persamaan atau penyesuaian bunyi (rima) di pangkal, di hujung, atau seluruhnya apabila digandakan. Contohnya:
  1. persamaan bunyi di pangkal: lalu-lalang, beli-belah, dentam-dentum, dan sebagainya.
  2. persamaan bunyi di hujung: karut-marut, cerai-berai, calar-balar, dan sebagainya.
  3. penyesuaian bunyi seluruhnya: compang-camping, dolak-dalik, huyung-hayang dan selok-belok dan sebagainya.
Kata ganda berimbuhan
Kata ganda berimbuhan atau menyalin terhasil dengan membubuh imbuhan di mana-mana tempat dalam kata ganda. (Rujuk Imbuhan dalam bahasa Melayu).
  • Imbuhan awalan di awal kata: tergesa-gesa, berpura-pura
  • Imbuhan awalan selepas tanda sengkang: tahu-menahu, kejar-mengejar
  • Imbuhan akhiran di akhir kata: barang-barangan, terang-terangan
  • Apitan seluruh kata ganda: tergila-gilakan, menghuru-harakan

No comments: