Monday 24 September 2012

Rampai Bahasa - Apakah Peribahasa?

sumber - http://www.tutor.com.my/
 Peribahasa tergolong dalam kumpulan bahasa kiasan.
Bahasa Kiasan terdiri daripada:
a)Bukan Peribahasa
  1. Personifikasi
  2. Hiperbola
  3. Metafora
  4. Simile
b)Peribahasa
  1. Simpulan Bahasa
  2. Pepatah
  3. Perumpamaan
  4. Bidalan


1.SIMPULAN BAHASA

Ungkapan yang terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan  tersebut.

Menurut Za'ba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:

(a) Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur.
Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.

(b) Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya.
Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.

(c) Daripada kepercayaan orang ramai
Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.

(d) Daripada kebiasaan atau resaman bahasa.
Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.


2. Pepatah
Dikenali juga sebagai perbilangan yang berasal daripada pusaka adat resam.Pepatah memiliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Pepatah mempunyai sifat yang sangat ringkas, berkerat-kerat atau berpatah-patah dan mementingkan ketepatan perkataan yang mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan.
Contoh:
  • Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul
  • Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan
  • Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit

3. Perumpamaan
Perumpamaan ialah perbandingan sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, ibarat, bak, seperti, macam, bagai dan umpama.

Contoh:
i. Laksana kayu golok, ditetak tak makan, dijual tak laku
ii.Macam ikan kena tuba
iii.Ibarat perahu, tidak akan karam sebelah


4.Bidalan

Walaupun bidalan turut berfungsi sebagai nasihat seperti perumpamaan, namun bidalan tidak didahului oleh kata sendi seperti " bak", "bagai","umpama", "seperti* dan "laksana". Patah-patah kata dalam bidalan lebih mementingkan ketepatan perkataan kerana bidalan menggunakan perkataan-perkataan seperti, "hendaklah", "jangan", "lebih ", "baik", „biar", "harus" dan "usah".
Contoh :
i. Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahit
ii. Kalau kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan dalam
iii.Belum duduk sudah belunjur
iv.Biar genting jangan putus

No comments: