Pak Utih sedar dia tidak bersekolah. Hendak berniaga, dia tiada modal.
Hendak menjadi tukang rumah, dia tiada kemahiran. Apatah lagi hendak
bekerja di jabatan kerajaan. Jadi, hanya buruh kasar pekerjaan yang
sesuai untuk orang seperti dirinya.
Begitupun, Pak Utih bertekad. Dia tidak mahu anak-anaknya
menjadi seperti dirinya. Dia mahu melihat anak-anaknya berjaya.
Mudah-mudahan, kejayaan mereka nanti dapat meringankan beban yang
ditanggung selama ini.
Saban hari, Pak Utih melakukan pelbagai pekerjaan. Dia sanggup
mengambil upah menebas rumput, memanjat pokok kelapa, menanam pokok
koko, dan memetik buah sawit semata-mata untuk menyekolahkan Karim dan
Salim. Dia sanggup berlapar, dia sanggup tidak bersalin pakaian asalkan
anak-anaknya dapat belajar.